KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Kongres yang menghimpunkan agensi, jabatan dan unit kerajaan negeri mampu memperkukuh penyelarasan komunikasi serta memastikan setiap dasar dan kejayaan Kerajaan Terengganu dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program berkenaan penting bagi mewujudkan wahdatul fikri dan wahdatul amal, iaitu kesatuan pemikiran yang diterjemahkan kepada kesatuan tindakan dalam kalangan agensi kerajaan.
Menurutnya, penyelarasan itu semakin penting dalam era media baharu apabila maklumat boleh tersebar dengan pantas, sekali gus menuntut Kerajaan negeri mengurus penyampaian maklumat secara lebih tersusun, tepat dan strategik.
“Setiap polisi dan dasar Kerajaan negeri tidak seharusnya hanya berlegar dalam kalangan jabatan dan agensi, sebaliknya perlu disalurkan kepada rakyat.
“Banyak kejayaan yang dilakukan Kerajaan negeri sebenarnya berlaku, tetapi tidak sampai kepada pengetahuan rakyat. Sebab itu kita perlu memastikan apa yang dilakukan kerajaan dapat disampaikan dengan cara dan persembahan terbaik,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas merasmikan majlis tersebut Hotel Permai, di sini hari ini.
Beliau berkata, kongres itu turut memberi penekanan terhadap keperluan mengenal pasti jurucakap yang sesuai bagi menyampaikan kejayaan dan dasar Kerajaan negeri kepada rakyat.
Katanya, Menteri Besar akan menjadi jurucakap utama sebelum penyampaian maklumat dikembangkan kepada pihak lain mengikut kesesuaian.
“Dari segi pelaksanaannya, ia bermula di peringkat Menteri Besar, kemudian Unit Penerangan Kerajaan negeri sebelum diturunkan kepada agensi, jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Maklumat akan dikumpulkan, disaring dan dinilai untuk menentukan apa yang perlu disampaikan dan apa yang tidak perlu,” katanya.
Menurutnya, tidak semua perkara perlu didedahkan kepada umum kerana pemilihan maklumat juga merupakan sebahagian daripada strategi komunikasi kerajaan.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan perkara baharu kerana usaha berkenaan sudah dilaksanakan sebelum ini, namun masih belum diselaraskan secara menyeluruh dan tersusun.
“Dengan adanya kongres ini, kita dapat memperkemaskan perkara tersebut supaya selepas pelancaran ini, gerak kerja dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun,” katanya.
Inisiatif berkenaan sekali gus memberi kelebihan kepada Kerajaan negeri dalam membina komunikasi dua hala yang lebih berkesan dengan rakyat, selain memastikan dasar, perkhidmatan dan pencapaian kerajaan tidak terputus daripada pengetahuan masyarakat.