• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Kejohanan Taekwando Serlahkan Bakat Muda Ke Peringkat Lebih Tinggi

KUALA NERUS, 16 September - Kejohanan Taekwando Tertutup Terengganu Kali-1 yang berjaya menarik lebih 800 peserta mampu menjadi platform untuk mencungkil bakat anak muda dalam sukan taekwando di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata penyertaan mereka sekali gus diharap dapat menaikkan mutu kejohanan selain membantu mencari atlet atau bakat baharu untuk mewakili Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 nanti.

"Perjalanan acara pada hari ini cukup penting bagi persiapan menghadapi SUKMA 2024  dalam acara Taekwondo yang sebelum ini ditiadakan tetapi diadakan pada tahun depan.

"Kejohanan ini membantu kita mencungkil bakat yang boleh diketengahkan kerana tanpa kejohanan atlet tidak boleh bersaing...untuk mereka memiliki kenyakinan ketika berhadapan dengan pihak lawan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Kejohanan Taekwondo Tertutup Terengganu Kali-1 bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Taekwando Terengganu, Dato Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Seberang Takir, Khazan Che Mat.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sentiasa komited memajukan sukan terutama dalam melahirkan ramai atlet muda untuk bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan seterusnya mengharumkan nama negara.

Justeru itu, Hishamuddin berharap Persatuan Taekwando dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan seterusnya berganding bahu untuk membentuk kekuatan bagi menguasai sukan tersebut di peringkat negara

Sementara itu, Mohd Nasir berkata objektif penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menonjolkan kebolehan masing-masing di dalam seni mempertahankan diri taekwondo malah membentuk disiplin dan peribadi mantap bagi melahirkan insan berkualiti serta dapat berbakti kepada masyarakat.

Tambahnya, antara kejayaan pasukan Taekwando Terengganu ialah membawa pulang pingat 14 pingat ketika pertandingan peringkat antarabangsa yang berlangsung di Bangkok baru-baru ini.

Justeru itu, beliau berharap penganjuran program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memantapkan sukan taekwando di Terengganu.