KUALA NERUS, 3 April – Kepimpinan wanita perlu terus diperkasa dalam kerangka syariat Islam bagi memastikan pembangunan ummah yang seimbang dan berdaya tahan.
Wali Kota Banda Aceh, Hj. Illiza Sa’aduddin Djamal, S.E. berkata, pengalaman yang dikongsi antara beberapa wilayah seperti Aceh, Terengganu, Kelantan dan Brunei menunjukkan cabaran dihadapi adalah hampir sama, khususnya dalam memperkukuh peranan wanita.
"Alhamdulillah saya melihat kepemimpinan di Terengganu ini sangat bagus, apalagi tentang penerapan syariat Islam.
"Penganjuran program berskala antarabangsa yang menghimpunkan ulama dan melibatkan penyertaan wanita merupakan platform penting dalam membina kepimpinan wanita yang lebih berkesan," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026, perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.
Menurutnya, program seperti ini memberi ruang untuk berkongsi pandangan dan pengalaman, sekali gus menjadi inspirasi kepada wanita untuk terus memainkan peranan dalam masyarakat.
Beliau turut memuji kepimpinan Terengganu yang disifatkan komited dalam melaksanakan syariat Islam dan memberi perhatian terhadap pembangunan masyarakat termasuk golongan wanita.
Katanya, walaupun tiada larangan dalam syariat terhadap kepimpinan wanita, namun masih wujud persepsi negatif yang dipengaruhi kepentingan politik tertentu.
“Cabaran itu tetap ada, namun apabila wanita mampu membuktikan prestasi dan memberi manfaat kepada masyarakat, persepsi tersebut akan berubah secara beransur-ansur,” ujarnya.
Tambah beliau, pengukuhan peranan wanita perlu bermula dari institusi keluarga sebelum berkembang ke peringkat masyarakat dan negara.
"Kepimpinan Terengganu dilihat terus menunjukkan perubahan dan perkembangan dalam pembangunan, khususnya dari segi keprihatinan terhadap pelaksanaan syariat Islam.
"Alhamdulillah, kami di Aceh juga banyak menerima bantuan serta sokongan daripada Terengganu dalam menghadapi musibah di daerah kami," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berharap kerjasama antara Aceh dan Terengganu dapat terus diperkukuh, khususnya dalam pelaksanaan syariat Islam dan pembangunan sosial pada masa akan datang.
“Sinergi ini penting agar usaha memperkasa ummah dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Justeru itu katanya, teruslah memperjuangkan peranan wanita melalui forum-forum seperti ini untuk masyarakat.
"Kita juga diberikan peluang oleh Allah SWT di samping memikul tanggungjawab dan mempunyai hak untuk menggerakkan kehidupan, sama ada sebagai pemimpin dalam masyarakat mahupun dalam kelompok komuniti.
"Semua ini merupakan pilihan yang perlu dibuat secara bebas dan bertanggungjawab.
"Seiring dengan peredaran masa, keadaan kini semakin baik apabila muncul pelbagai penggerak dan aktivis wanita yang terus berusaha memperjuangkan hak serta peranan mereka.
"Usaha untuk menyuarakan pandangan dan membentuk dasar atau peraturan juga giat dilakukan, agar insya-Allah peranan wanita tidak lagi menjadi isu dalam masyarakat," tambah beliau.
Tag :