• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Keprihatinan Kerajaan Negeri Terhadap Ibu Tunggal Dipuji

MARANG, 15 September - Keprihatinan kerajaan Terengganu bagi mengelakkan ibu tunggal yang layak menerima bantuan khas tercicir mendapat pujian Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Pengarah JPW Terengganu, Raja Kamariah Raja Abdul Rahman berkata, ia terbukti apabila kebanyakan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu telah mengadakan taklimat berhubung Bantuan Khas Ibu Tunggal di Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Katanya, walaupun bantuan itu tidaklah terlalu besar, tetapi ia sangat membantu mereka yang kurang berkemampuan.

"Memang kerajaan hanya bagi sekali secara one-off sebanyak RM300, tetapi sebenarnya nilai itu sangat berharga dan besar bagi orang yang memerlukan.

Raja Kamariah Raja Abdul Rahman

"Di Terengganu, kita tidak mempunyai masalah dari segi kerjasama di DUN, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) yang menunjukkan keprihatinan dalam menjaga masyarakat," ujarnya.

Beliau berkata ketika berucap dalam Program Taklimat Bantuan PENJANA Ibu Tunggal di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, di sini kelmarin.

Turut hadir, Penyelia i-MiTS Rhu Rendang, Mohd Embong, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan wakil Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Jalaluddin Awang.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 1,500 orang telah mendapat bantuan itu dalam fasa satu, dua dan tiga.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, program itu diadakan bagi memastikan semua ibu tunggal yang layak tidak tercicir.

"Itu tujuan kita, lebih-lebih lagi pada saat ini mereka golongan yang sangat memerlukan setelah terjejas dengan pandemik COVID-19.

"Selagi kita bergelar kerajaan, kita akan terus menjaga kebajikan masyarakat setempat, memberi maklumat dan menjadi pengantara atau orang tengah bagi memudahkan urusan rakyat," jelasnya lagi.


Tag: