Keputusan SPM 2024 Kini Boleh Disemak
KUALA TERENGGANU, 24 April – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 kini boleh menyemak keputusan peperiksaan masing-masing bermula pukul 10.00 pagi hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik berkata, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing manakala calon persendirian boleh berbuat demikian di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Sukacita dimaklumkan bahawa calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 mulai pukul 10.00 pagi hari ini di sekolah masing-masing.
“Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menyemak dan mendapatkan keputusan peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut Rosli, calon juga diberi pilihan untuk menyemak keputusan secara dalam talian melalui pautan rasmi myresultspm.moe.gov.my atau menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS).
“Calon juga boleh menyemak keputusan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my.
“Semakan melalui sistem SMS juga boleh dibuat untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024,” jelas beliau.
Tambah beliau, kemudahan semakan keputusan SPM 2024 disediakan sehingga 30 April 2025 bagi memastikan semua calon mempunyai tempoh yang mencukupi untuk mendapatkan maklumat keputusan mereka.
“Calon boleh menyemak keputusan sehingga 30 April 2025, jam 6.00 petang.
“Bagi calon yang tidak mempunyai capaian internet, mereka boleh mendapatkan keputusan secara fizikal di sekolah atau hadir ke JPN,” jelasnya.