• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan BN Tidak Jemu Bantu Tabika Kemas


Halina memerhati dua kanak-kanak Tabika Kemas menyertai Pertandingan Mari Bersolek. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail

Kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas dengan menyalurkan peruntukan yang besar setiap tahun bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan seliaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria berkata, setiap nilai ringgit yang diagihkan itu menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan Tabika Kemas dengan menyediakan kemudahan yang selesa dan kualiti pendidikan terbaik kepada masyarakat.

Katanya, melihat perkara itu, masyarakat hari ini perlu menghargai jasa-jasa kerajaan yang telah membantu rakyat daripada pelbagai aspek bukan saja  berkaitan pendidikan malah tidak jemu menumpukan perihal kebajikan, perubatan, perumahan, peluang pekerjaan dan sebagainya.

“Tidak ketinggalan Kerajaan Barisan Nasional Terengganu juga setia menghulurkan pelbagai bantuan, termasuk bantuan persekolahan, dana perayaan, sumbangan untuk ibu tunggal serta dana pendidikan ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

“Apa yang dilaksanakan  kerajaan melalui jabatan dan agensi yang dilantik  itu pastinya bertujuan membantu menaiktaraf kehidupan rakyat daripada miskin kepada hidup sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kanival Sukaneka Kanak-kanak Tabika Kemas  DUN Seberang Takir, Padang Bola Taman Perumahan Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Seramai 400 kanak Tabika Kemas di DUN itu menyertai pelbagai pertandingan antaranya tiup belon, bawa bola ping pong dalam sudu, kanggaru pintar, isi air dalam botol, gelek gelung rotan, lari kepit bola, rebut coklat dan sang tupai gigi epal.

Tag: