• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Kerajaan Kaji Tindakan Terbaik Selesaikan Rintihan Nelayan

KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kerajaan sedang mengkaji tindakan terbaik bagi menyelesaikan rintihan nelayan tidak berlesen yang menyulitkan mereka mencari rezeki.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, masalah timbul di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana golongan tersebut gagal menunjukkan dokumen pengenalan nelayan ketika melalui sekatan jalan raya.

"Dalam perbincangan bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 pagi tadi (semalam), saya telah membawakan suara para nelayan yang belum mempunyai lesen tetapi mereka adalah nelayan tulen dengan turun ke laut sebagai sumber rezeki utama.

"Kerja mereka dikategorikan sebagai perikanan rekreasi yang tak dibenarkan sepanjang PKP. Memang mereka tak ada dokumen pengenalan sebagai seorang nelayan walaupun sebenarnya mereka seorang nelayan sejati," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Dr Azman, definisi perikanan rekreasi perlu diperhalusi dalam konteks negeri Terengganu di masa akan datang.

"Isu kenapa mereka tak mempunyai lesen sedang ditangani sebaiknya yang insya-Allah telah menghampiri titik penyelesaian. Hanya PKP yang menghalang kita menyelesaikan proses akhir agihan lesen nelayan sampan.

"Alhamdulillah, respon daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sangat positif untuk menyelesaikan isu ini segera sebaiknya," tambah beliau.