• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Belanja 2,393 Nelayan Terengganu Perbaharui Lesen

BESUT, 24 Januari - Terengganu mengumumkan pembaharuan lesen nelayan bagi tahun 2022 akan ditanggung kerajaan negeri bagi membantu golongan nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, kos pembaharuan lesen yang ditanggung melibatkan 2,393 orang.

"Hari ini saya hendak umum satu berita gembira yang kami telah putuskan. Biasanya jika hendak memperbaharui lesen nelayan, ada yuran yang perlu dibayar.

“Pertama ‘fee’ sampan berjumlah RM2, yang kedua ‘fee’ peralatan (RM2) dan yang ketiga ‘fee’ matil (RM5) nama dia, menjadikan kos RM9.

“Kos ini akan ditanggung kerajaan negeri bagi tahun ini. Doakan semoga kita dimurahkan rezeki supaya tahun-tahun yang seterusnya pun tidak perlu bayar,” katanya.

Beliau mengumumkan berita baik itu ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Beting Lintang, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan  Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II; Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna merangkap ADUN Kota Putera; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia; Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu; Dato' Shahidan Embok.

Menurut Dr. Azman, sebelum ini lebih 600 nelayan sampan di seluruh Terengganu tidak mempunyai lesen menyebabkan mereka dinafikan daripada menerima kelebihan dan elaun, dan subsidi yang diperuntukkan.

“Alhamdulillah, pemberian lesen nelayan yang telah dibekukan sekian lama ini, gerakan ‘task force’ untuk mencairkannya bermula daripada negeri Terengganu.

“Beberapa kali kita berjumpa YB menteri berbincang dan akhirnya apabila menteri setuju mencairkannya, negeri-negeri lain juga menerimanya,” katanya.

Dalam projek tersebut, sebanyak 50 buah rumah kediaman nelayan bakal dibina melibatkan kos berjumlah RM7.6 juta melibatkan usahasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).