• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Iktiraf Kejayaan Sekolah Di Bidang Khusus

A. Latiff bersama pemenang dalam Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Negeri Terengganu 2016 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu, Marang.

Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf kejayaan pelajar dan warga pendidik yang berjaya melahirkan pelajar berkualiti dalam bidang-bidang khusus seperti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pusat Sumber Sekolah (PSS), Program Nilam yang berteraskan program galakan membaca serta TV PSS.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, selaras dengan prinsip kelapan Tranformasi Terengganu Baharu (TTB) iaitu memperkasakan serta melestarikan pendidikan negeri, pengiktirafan dan penghargaan bukan sahaja di jabatan yang berkait rapat dengan bidang pendidikan sahaja, malah juga melibatkan jabatan kerajaan yang lain.

“Di peringkat kebangsaan Anugerah Pembestarian Sekolah yang dilaksanakan pada 16 November lalu, beberapa buah sekolah di negeri ini telah berjaya memenangi beberapa kategori antaranya tempat pertama bagi kategori Digital Story Telling bagi sekolah rendah serta tempat keempat bagi kedua-dua kategori Anugerah PSS Terbaik Kebangsaan bagi Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah,”katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Negeri Terengganu 2016 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu, Marang.

 A. Latiff berkata, pembestarian sekolah memainkan peranan penting dalam usaha menjayakan anjakan 7, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

“Anjakan ini adalah bagi memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia yang diyakini memberi impak serta potensi besar dalam memacu dan memperkukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Ianya adalah bagi mengoptimumkan potensi murid dalam menguasai kemahiran Pembelajaran Abad ke-21 yang kian mencabar,”katanya.

Dalam program tersebut, SK Padang Mengkuang muncul sebagai juara bagi Anugerah PSS Negeri Terengganu untuk sekolah rendah manakala sekolah menengah dimenangi oleh SMKA Nurul Ittifaq.

Tag: