Berita :
Kerajaan Negeri Salur RM35,000 Kepada Tujuh Persatuan OKU
Kerajaan Negeri Salur RM35,000 Kepada Tujuh Persatuan OKU
Ahmad Zaeem Zainudin
14 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM35,000 kepada tujuh persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu (MTOT) sempena Majlis Berbuka Puasa bersama komuniti berkenaan di Restoran B’Benteng, Taman Tamadun Islam, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, setiap persatuan menerima sumbangan sebanyak RM5,000 bagi menyokong pelaksanaan program dan pengurusan persatuan.

"Petang ini kita bersama dengan Majlis Tindakan OKU Terengganu (MTOT) dan di bawah MTOT ini kita ada tujuh badan gabungan yang melibatkan orang-orang kurang upaya pelbagai jenis kurang upaya.

"Kita sampaikan sumbangan RM5,000 setiap persatuan OKU ini, melibatkan RM35,000 keseluruhannya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Menurut beliau, keseluruhan kos penganjuran majlis tersebut adalah kira-kira RM42,000 yang dibiayai kerajaan negeri sebagai tanda komitmen berterusan terhadap kebajikan golongan OKU.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap bantuan itu dapat memperkukuh peranan persatuan dalam membela nasib serta memperkasakan komuniti OKU di Terengganu.

"Jadi kita harap masyarakat luar dan masyarakat keseluruhannya sentiasa menghargai keberadaan OKU ini dan kita jangan menganggap OKU ini sebagai orang sampingan dalam masyarakat.

"Mereka sebahagian daripada anggota masyarakat yang perlu disantuni dan mungkin mereka juga mempunyai sumbangan kepada pembangunan negeri," ujarnya.

Dalam pada itu, Maliaman turut menegaskan kepentingan pematuhan kuota satu peratus peluang pekerjaan kepada golongan OKU seperti yang digariskan, bagi memastikan penyertaan mereka dalam sektor awam terus diperkasa.

"Sebab itu satu peratus daripada pekerja mesti daripada kalangan orang kurang upaya (OKU)," jelasnya sambil menyifatkan kesedaran jabatan kerajaan yang kian meningkat dalam menghargai dan menyantuni komuniti berkenaan.

Mengulas kenyataan itu, beliau memperincikan pelbagai kemudahan mesra OKU yang telah dipertingkatkan termasuk penyediaan laluan ‘ramp’, lif, kaunter khas, tandas khas dan parkir khas di premis awam serta pejabat kerajaan bagi memudahkan urusan mereka.

"Itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan supaya memudahkan urusan mereka untuk memenuhi apa-apa tuntutan," katanya.

Majlis berkenaan turut menghimpunkan wakil tujuh badan gabungan di bawah MTOT serta wakil jabatan  berkaitan sebagai platform merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan komuniti OKU dalam menyemarakkan semangat kebersamaan sempena bulan Ramadan.


Ketupat

Artikel Berkaitan