KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Terengganu berjaya menyelesaikan isu lama berkaitan pemilikan Muara Sungai Kijal apabila kawasan itu kini kembali ke tangan negeri selepas kira-kira 30 tahun dimiliki Kijal Resort Sdn Bhd menerusi rundingan damai antara kedua-dua pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Razali Idris berkata, kawasan Muara Sungai Kijal itu pada asalnya dimiliki Tanah Warisan Negeri Terengganu sebelum dipindah milik kepada Kijal Resort Sdn Bhd pada 1997.
Menurutnya, kawasan berkenaan kemudiannya berdepan cabaran semula jadi akibat pemendapan pasir yang menjejaskan aliran muara sungai serta laluan navigasi bot nelayan.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai alasan kukuh untuk mengambil semula kawasan tersebut kerana kegagalan penyelenggaraan yang baik telah menyebabkan muara sungai tertutup, sekali gus mengakibatkan banjir dua kali setahun di kawasan Kijal.
“Selama ini ia milik persendirian maka kerajaan negeri tidak boleh nak baiki. Selain berlaku banjir, ia juga telah mengakibatkan berlakunya hakisan bermula dari Pantai Penunjuk sehingga tujuh kaki, agak ketara.
“Sepatutnya setahun hanya berlaku satu sahaja, tetapi apabila muara itu tidak diselenggara maka berlaku hakisan panjang.
“Juga memberi kesan kepada aktiviti bot nelayan untuk keluar masuk. Itu merupakan antara hujah kita untuk mengambil semula dan hari ini rundingan ini telah berjaya dan disempurnakan pada majlis yang kita buat ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Razali berkata kejayaan itu menjadi satu sejarah yang amat bermakna terutama kepada penduduk Kijal.
“Bermula esok kita akan mulakan perancangan untuk melaksanakan beberapa inisiatif strategik, bermula secara kecil-kecil dulu di kawasan Muara Sungai Kijal.
“Antaranya termasuk kerja-kerja penstabilan dan pemuliharaan muara sungai, usaha mendalamkan laluan air bagi memastikan kelancaran navigasi bot nelayan.
“Seperti penambahbaikan sokongan seperti kawasan pendaratan dan tempat letak bot,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga berharap Muara Sungai Kijal akan kembali menjadi pemangkin penting kepada nelayan pesisir pantai di sekitar Kemaman.
“Selama ini beratus-ratus nelayan pesisir di Kijal serta Kemasik parkir bot dalam muara Sungai Kemaman yang jaraknya sangat jauh,” katanya.
Tag :