• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Suntik RM20,000 Rangsang Aktiviti Tambahan Bagi Zoo Kemaman

KEMAMAN, 17 Julai - Kerajaan Terengganu mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Taman Rekreasi & Zoo Kemaman sebagai rangsangan tambahan kepada pusat pelancongan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, peruntukan berkenaan  bagi membantu penganjuran aktiviti tambahan untuk menarik pengunjung terutamanya aktiviti melibatkan komuniti.

Ariffin dan Hanafiah ketika ditemu bual media.

"Pelbagai pakej pelancongan menarik dapat diwujudkan sebagai aktiviti tambahan bagi pengunjung zoo contohnya program menyusuri sungai dan mengintai kunang-kunang yang merupakan antara aktiviti yang cukup menarik.

"Di samping itu, kita turut menawarkan potongan harga tiket masuk sebanyak 50 peratus sehingga 31 Ogos ini," katanya kepada media sewaktu lawatan kerja sehari ke Taman Rekreasi & Zoo Kemaman, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Abdul Rasid Jusoh dan pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Menyusuri sungai antara tarikan unik di Zoo Kemaman.

Tambahnya, lokasi itu menerima peningkatan kehadiran pengunjung mendadak selepas dibuka semula, baru-baru ini.

"Sekarang ini, kita yakin akan menerima kedatangan pelancong jauh lebih ramai berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun dalam suasana PKP ini kita tidak dapat jangkakan anggaran yang datang tetapi kami mendapati kehadiran meningkat sekitar 1,000 sehingga 3000 pengunjung sehari pada hujung minggu," katanya.

Beliau turut menjelaskan, pihaknya akan berkerja lebih keras dengan melihat kembali perancangan pembangunan zoo Kemaman bagi menyahut usaha mempergiatkan pelancongan domestik khususnya kedatangan pelancong tempatan.

Tourism Terengganu turut bertindak memperkasakan lagi promosi pelancongan terutamanya di Zoo Kemaman dengan pelbagai promosi selain memasukkannya dalam pakej pelancongan kolaborasi tiga negeri di pantai timur.

"Saya menyeru semua pihak supaya bersama-sama menggerakkan promosi khusus bagi Taman Rekreasi & Zoo Kemaman.

"Saya juga mencadangkan kepada ejen pelancongan supaya membantu memperkenalkan Kemaman kerana lokasinya yang berada paling hampir dengan pantai barat memudahkan pelancong luar berkunjung ke sini," katanya.