KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Kerajaan Negeri terus memperkukuh usaha menangani permintaan tinggi terhadap Rumah Mampu Milik( RMM) menerusi penambahbaikan dasar pembangunan, kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan serta penglibatan agensi pelaksana.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan penambahbaikan dasar pembangunan RMM secara penswastaan bagi merancakkan penglibatan pemaju swasta dalam penyediaan lebih banyak projek RMM di seluruh Negeri Terengganu.
“Pendekatan ini dijangka dapat meningkatkan bekalan rumah mampu milik serta mempercepatkan pelaksanaan projek,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, kerjasama strategik turut dijalin dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mendapatkan sokongan kewangan, kepakaran teknikal dan pelaksanaan projek pembangunan secara bersama.
“Kerjasama ini memberi tumpuan kepada penyediaan rumah mampu milik yang berkualiti, selesa dan berdaya huni bagi memenuhi keperluan rakyat Negeri Terengganu,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan agensi pelaksana seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta agensi-agensi berkaitan bagi memperluaskan pelaksanaan projek perumahan rakyat dan meningkatkan bilangan unit RMM yang dapat ditawarkan kepada golongan sasar.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan pembinaan RMM di DUN Air Putih, Wan Sukairi memaklumkan sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang cadangan rasmi daripada pihak DUN Air Putih berhubung lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan RMM.
“Walau bagaimanapun, sekiranya pihak DUN Air Putih mempunyai cadangan tapak yang bersesuaian, cadangan tersebut dialu-alukan untuk dikemukakan kepada Pejabat SUK Terengganu (Bahagian Perumahan) bagi tujuan penelitian, penilaian kesesuaian tapak dan tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan,” ujarnya.