• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Kerajaan Persekutuan Perlu Serius Bantu Guru


SETIU, 11 Februari - Sebanyak 4,525 permohonan pertukaran guru diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi sesi 2019 daripada keseluruhan 25,332 permohonan yang diterima membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak mengambil serius isu duka lara guru.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kerajaan perlu lebih serius membantu para guru yang berdepan kesukaran untuk bertukar.

Beliau dalam kenyataan medianya baru-baru ini menyifatkan langkah kerajaan yang masih menunggu keputusan bilangan guru duka lara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebagai tidak prihatin terhadap isu tersebut.

"Kerajaan digesa agar menangani isu duka lara guru ini dengan serius.

"Sebelum ini, sebahagian guru berhadapan situasi berjauhan dengan keluarga malah sesetengah isu membawa kepada penceraian suami isteri.

"Ini merupakan antara faktor utama kepada kemurungan guru.

"Malah, keputusan bagi menambah bilangan kaunselor juga bukan satu keputusan bijak," tegasnya dalam kenyataan tersebut.

Shaharizukirnain turut mengingatkan, kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik sebelum ini bahawa guru sepatutnya berkorban bagi mengelak masalah kekurangan guru yang membawa kepada duka lara murid dan ibu bapa mendatangkan reaksi kurang senang daripada kebanyakan guru. 

"Kerajaan seharusnya dapat menanganinya secara holistik demi kebajikan guru-guru sejajar dengan usaha kerajaan memartabat profesion perguruan," katanya.


Tag: