• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Prihatin Golongan OKU, Warga Emas

MARANG, 30 November - Belanjawan Malaysia 2021 adalah bajet yang menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff berkata perkara itu terbukti dengan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja telah dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan.

"Kerajaan juga akan menaikkan bantuan untuk penjaga OKU dan pesakit terlantar iaitu daripada RM350 hingga RM500. Lebih 190,000 OKU di Malaysia adalah merupakan penerima bantuan bulanan.

"Kenaikan saguhati lebih 150 peratus iaitu nilai RM150 dinaikkan kepada RM400 untuk Sukarelawan Khidmat Bantu Di Rumah yang melibatkan penjagaan warga emas dan OKU.

YB Dato' Hajah Siti Zailah meninjau beramah mesra dengan golongan OKU di Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang

"Elaun pekerja OKU juga telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM450 serta pasangan OKU juga akan mendapat pelepasan cukai dari RM3,500 kepada RM5,000 melebihi 40 peratus.

"Manakala majikan yang memberi peluang pekerjaan kepada OKU juga akan dapat pelepasan Cukai sebanyak 20 peratus. Selain itu OKU juga akan dapat RM5 pas perjalanan tanpa had," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir melawat Rumah Sejahtera Taman Bahagia (RSTB), Bukit Payong dan Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang bersempena pelancaran program Kembara Perihatin Negara peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional, Alias Harun, ADUN Wanita Terengganu, YB Zuraida Md Noor, Pengarah JKM Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar. dan Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.

YB Dato' Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff menyantuni warga emas di Rumah Sejahtera Taman Bahagia (RSTB)

Menurutnya lagi, kerajaan turut bersetuju menaikkan peruntukan bagi pengoperasian (PAWE) daripada RM33,330 kepada RM50,000 yang melibatkan 150 PAWE sedia ada.

"Kerajaan juga mensasarkan satu PAWE akan ditubuhkan di setiap Parlimen menjelang 2025 sebagai usaha memastikan kebajikan warga emas terjamin," tambahnya lagi.


Tag: