• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Terengganu Sokong Rakyat Usahakan Ayam Telur

SETIU, 20 Mei - Kerajaan negeri mengalu-alukan rakyat yang berminat untuk mengusahakan ternakan ayam telur bagi meningkatkan hasil sumber makanan.  

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata Terengganu masih belum ada penternak ayam telur sehingga hari ini. 

“Hasil telur ayam daripada negeri Terengganu adalah kosong peratus, bermakna kita bergantung sepenuhnya hasil dari luar.

“Kerajaan membuka peluang kepada sesiapa yang berminat mengusahakan penternakan ayam telur dengan menyediakan tanah penternakan di Setiu.

“Sekiranya ada pemain yang berminat, kita akan bantu mendapatkan bantuan pembinaan reban melalui kerajaan negeri,” katanya dalam Perasmian Majlis Penyerahan Sumbangan Pendapatan Daripada Projek Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu semalam.

Beliau turut berkata kerajaan negeri sentiasa menyasarkan peningkatan pengeluaran hasil bagi sektor pertanian dan penternakan. 

Terdahulu beliau menyempurnakan pelepasan lebih 30,000 benih ikan dan udang galah di Tasik Telabak, Durian Telur dalam usaha membantu meningkatkan hasil buat nelayan darat.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut merasmikan pengagihan sumbangan wang tunai RM350 hasil projek JPV kepada 60 peserta e-Kaseh dari Besut dan Setiu di Dewan Sivik Jabi.

 


Tag: