• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Serius Tangani Dakwaan Isu Keracunan

BESUT, 6 Jun- Kerajaan Terengganu memandang serius dakwaan isu membabitkan enam individu keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berang di perairan Pulau Perhentian Kecil dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan tidak dirawat, dua hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah melaksanakan siasatan segera berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, setakat ini pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut belum menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut. 

"Dalam satu mesyuarat khas tindakan daerah Besut yang dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah Besut semalam, kita telah mengarahkan jabatan terlibat untuk mengambil sampel air yang didakwa tercemar tersebut serta melakukan pemantauan dengan segera terhadap isu itu.

 "Ini perkara serius memandangkan ia melibatkan soal keselamatan pelancong, dan jika dakwaan tersebut didapati benar, ia sudah tentu memberikan imej negatif terhadap industri pelancongan negeri kita," jelasnya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, awal pagi ini.

Tambah Ariffin, isu berkenaan secara tidak langsung akan menjejaskan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke pulau-pulau peranginan di Terengganu, lebih-lebih lagi sekiranya ia tidak ditangani dengan baik.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan JKNT semalam, pihak JKNT telah menyemak data kejadian keracunan makanan bagi tahun 2021 sehingga 5 Jun (semalam) dan tidak menerima apa-apa notifikasi kes keracunan makanan yang berlaku di Pulau Perhentian.