• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerja Pembinaan Menara NFCP Fasa Pertama Di Terengganu Siap Suku Pertama 2021

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerja-kerja pembinaan menara dan penyediaan rangkaian gentian optik di bawah program Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi fasa pertama yang bermula tahun lepas, dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan dengan melibatkan 13 lokasi di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, kerja-kerja pembinaan menara dan gentian optik NFCP bagi fasa kedua pula, dijangka akan bermula pada tahun ini dan akan siap pada suku keempat 2021, dengan melibatkan 34 lokasi seluruh negeri.

"Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif dalam meningkatkan jalur lebar dengan menambah baik dan meluaskan liputan rangkaian melalui NFCP di bawah Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP Fund) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasidan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kesemua 47 kawasan pembinaan menara dan penyediaan rangkaian NFCP ini, melibatkan kawasan luar bandar. Pelaksanaan NFCP yang dikawal selia SKMM adalah bagi meningkatkan jalur lebar khususnya di kawasan pedalaman,” katanya ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Penggal Ketiga Kali Ke-14, semalam.

Dalam perkembangan sama katanya, sebanyak 400 lagi menara telekomunikasi baharu akan dibina di seluruh negeri pada masa hadapan, bagi menampung 855 menara sedia ada, sebagai usaha meningkatkan liputan internet di negeri ini.

“Setakat ini liputan 4G di kawasan berpenduduk di seluruh negeri adalah 87.7 peratus, liputan 3G, 95.5 peratus dan 2G, 97.8 peratus. Jadi dengan pembinaan menara telekomunikasi baharu nanti rakyat Terengganu akan menikmati kemudahan liputan internet yang lebih baik,” katanya.


Tag: