• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Kerjasama Dengan MIC Adalah Kejayaan DHPP - Abdul Hadi

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
MARANG, 30 Mac - Parti Islam Semalaysia (PAS) menyifatkan kerjasama dengan MIC adalah kejayaan sayap parti iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam mendekati kaum bukan Islam.


Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, hubungan politik itu berlaku selepas mereka memahami bahawa pemerintahan Islam, terutama di Terengganu dan Kelantan sama sekali tidak menganiaya kaum dan agama lain.
Jelasnya, hubungan dengan MIC yang keruh sebelum ini adalah disebabkan berlakunya salah faham antara kedua-dua parti pembangkang itu.
“Ini yang mengejutkan mereka kerana sebelum ini mereka baca mengenai Islam melalui tulisan orang bukan Islam, jadi timbul kekeliruan (mengenai Islam).
“Kerjasama dengan MIC ini lebih bersifat perkenalan dengan lebih dekat. Penjelasan kita mendapat respon yang baik dan mereka faham hak beragama itu dijamin oleh Islam dan perlembagaan.
Bersalaman dengan anak tahfiz.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Kampung Alor Lit, Bukit Payong, di sini semalam.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mat Ghani Jusoh serta Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Asy-Syatibi, Mohd Nasir Ismail.
Mengulas tentang kerjasama dengan MCA, beliau yang juga Presiden PAS berkata, pihaknya akan meneliti semua perkara terlebih dahulu sebelum mengadakan hubungan politik dengan parti itu.
Tambah beliau, PAS mempunyai pengalaman yang luas dalam mendepani lapangan politik semasa dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti demi kepentingan rakyat.
Ahli Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Asy-Syatibi.
Katanya, dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini, PAS bukanlah sebuah parti bersikap jumud dan rasis seperti yang dimomokkan oleh sesetengah pihak.
“Itu kita tunggu (kerjasama dengan MCA). PAS mempunyai pengalaman yang banyak dan panjang kerana kita bukan sahaja pernah bekerjasama dengan MIC dan UMNO, tetapi terlebih dahulu dengan DAP, PKR dan parti lain.
“Politik ini fleksibel. Kita tak boleh beku atau jumud, apa lagi dalam suasana masyarakat majmuk dan Islam menerima wujudnya masyarakat majmuk, Islam itu (membolehkan) orang bukan Islam (terbabit) dalam kerajaan,” jelasnya.







Tag: