• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kerjasama Dua Hala Tingkatkan Mutu Perkhidmatan Perubatan




Oleh : Safwan Syakir

KUALA TERENGGANU, 21 Januari  - Kerajaan negeri sedia menjalinkan kerjasama dengan Taiwan bagi mewujudkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada orang ramai dengan kepakaran daripada kedua-dua belah pihak di samping menjalinkan kerjasama kemudahan kesihatan dan perubatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dengan Taiwan bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dalam bidang ini.

“Taiwan mempunyai kepakaran dan teknologi yang jauh lebih canggih berbanding Malaysia dalam bidang ini.

“Oleh itu, kerajaan akan pertimbangkan untuk jalin kerjasama dua hala bagi memastikan hasrat kerajaan tercapai,’’ ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Lawatan daripada Rombongan Chung Shan Universiti Hospital Taiwan ke Terengganu di Hotel Primula, baru-baru ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Medic Iman Sdn.Bhd, Mat Yula Kasim.

Tambah Dr. Alias, komponen industri pelancongan  turut mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi pulangan pendapatan kepada negara melalui nilai tukaran wang asing.

Jelasnya lagi,  Terengganu mempunyai banyak tempat menarik yang sesuai dijadikan pusat pemulihan bagi pesakit-pesakit yang mencari ketenangan, salah satunya adalah Tasik Kenyir yang merupakan Tasik terbesar di Asia Tenggara.

“InsyaAllah kerajaan akan menilai untuk membina pusat rehab di kawasan Tasik Kenyir dengan kerjasama daripada pihak Taiwan bagi memudahkan rakyat mereka merasai sendiri keindahan alam semulajadi di Terengganu sambil membuat rawatan disini,” tambah beliau.

Sementara itu,  Penyelaras Pelaburan, Dato’ Tok Teng Sai berkata, sempena majlis yang diadakan menjadi titik permulaan kerjasama antara negara Taiwan dan Kerajaan Terengganu dalam bidang perubatan.

Mengulas lanjut, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Medic Iman (KMI) Sdn.Bhd, Mat Yula Kasim berkata, jika kerjasama ini berjaya, ia dapat mendedahkan pengetahuan baharu kepada kakitangan Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS) dengan menghantar mereka ke negara tersebut untuk sesi latihan.

"Melalui kerjasama ini juga KMI komited dalam usaha untuk menambahkan lagi bilangan katil kepada 1,000 unit dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding bilangan semasa sebanyak 407 unit," katanya.


Tag: