Kerjasama Terengganu-PNB Lonjak Ekonomi dan Peluang Pelaburan Baharu

KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Kerjasama antara kerajaan negeri bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) bakal membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam usaha memperkukuhkan ekonomi negeri melalui pelbagai inisiatif pelaburan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya amat berbesar hati atas kunjungan hormat daripada PNB yang diketuai Pengerusinya, YM Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda, semalam.

Beliau menzahirkan keyakinannya bahawa kerjasama itu bakal memberikan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa positif untuk membuka peluang kerjasama antara kedua-dua pihak terutamanya bagi mengukuhkan ekonomi yang lebih mampan melalui projek-projek yang dilaksanakan.

“Saya juga amat menggalakkan masyarakat khususnya di Terengganu untuk mengambil peluang dalam pelaburan yang ditawarkan oleh PNB," ujarnya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Kerjasama yang erat ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing Terengganu, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Dr. Samsuri percaya, dengan langkah proaktif, inisiatif-inisiatif yang bakal dilaksanakan akan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri Terengganu sejajar dengan matlamat memperkukuhkan ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.