Jalur Gemilang
Berita :
Kes Denggi Melonjak, Terengganu Gerak Langkah Bersepadu
Kes Denggi Melonjak, Terengganu Gerak Langkah Bersepadu
Mastura Jamal Din
15 jam yang lepas
17

KUALA TERENGGANU, 2 September – Kerajaan Negeri  mengambil tindakan segera dan bersepadu bagi membendung peningkatan kes denggi yang dilaporkan di beberapa daerah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata langkah berkenaan diputuskan menerusi Mesyuarat Khas Berkaitan Isu Denggi Negeri Terengganu yang diadakan semalam.

Beliau berkata, Kuala Terengganu mencatatkan peningkatan tertinggi dari segi jumlah kes dengan 164 kes pada 2026 berbanding 64 kes bagi tempoh sama tahun lalu, meningkat 156.3 peratus.

“Hulu Terengganu pula merekodkan peningkatan paling tinggi dari segi peratusan iaitu 440 peratus, dengan 27 kes berbanding lima kes pada 2025.

“Kuala Nerus mencatatkan 20 kes berbanding 11 kes, Besut 20 berbanding 14, Kemaman 15 berbanding sembilan dan Setiu sembilan berbanding tiga kes,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

Wan Sukairi berkata, Marang merekodkan enam kes, sama seperti tahun lalu, manakala Dungun menunjukkan penurunan daripada sembilan kepada dua kes.

Sehubungan itu, katanya Gotong-Royong Perdana Membanteras Denggi akan dilaksanakan secara serentak pada 4 dan 5 September serta 11 dan 12 September ini, melibatkan Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, PBT, agensi berkaitan dan komuniti setempat.

“Kerajaan negeri turut akan memperluaskan pemasangan perangkap nyamuk di rumah dan kawasan berisiko tinggi dengan penglibatan Pusat Khidmat Masyarakat serta diselaraskan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

“Kerjasama masyarakat amat penting dengan memastikan kawasan kediaman bersih, menghapuskan takungan air dan meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu memeriksa serta memusnahkan tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan kes dan meningkatkan tindakan intervensi sekiranya diperlukan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan