• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kesedaran Jaga Kesihatan Tanggungjawab Bersama



Oleh: Ahmad Mawardi

HULU TERENGGANU, 3 November- Semua pihak perlu bertanggungjawab memainkan peranan bersama kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir Ustaz Hilmi Harun berkata, penjagaan kesihatan perlulah menggunakan kaedah yang dituntut oleh Islam dan cara yang diredhai oleh Allah untuk mengelak kemudaratan yang lebih besar lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan penyakit berjangkit.

"Firman Allah SWT, tanyalah mereka yang berilmu dalam bidang mereka sekiranya kami tidak tahu. Dalam bidang perubatan tanyalah pakar dan ahlinya tentang nasihat mereka kerana mereka mempunyai ilmu berkenaan dengannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan merasmikan Kem Kesihatan Klinik Kesihatan Manir yang bertema "Anak Sihat, Keluarga Bahagia" bertempat di Dewan i-MITS Manir, Pulau Bahagia, di sini, semalam.

Hilmi berkata, dalam al-Quran ada menunjukkan bahawa Allah SWT membenarkan hambaNya mencari ikhtiar yang boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

"Masyarakat haruslah lebih peka dengan wabak penyakit-penyakit yang menular atau berjangkit seperti terbaru demam campak untuk terus membuat rawatan di pusat kesihatan yang terdekat secepat mungkin,"katanya.

Lebih 250 orang mendaftarkan diri untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan menyertai cabutan bertuah, manakala seramai 55 orang kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna.

Turut diadakan Forum Kesihatan yang menampilkan dua tokoh ilmuwan yang hebat dari cabang ilmu yang berbeza, iaitu pakar di bidang farmasi, Dr Suhazli Abdullah dan Pengarah Institut Modal  Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah.


Panelis mengupas penggunaan vaksin dalam aspek perubatan dengan mendalam dan hujah yang mampu menyanggah persepsi songsang terhadap penggunaan vaksin dari sudut teknologi dan syarak atau fiqh Islam.

Kupasan yang menarik bersandarkan fakta, kaji selidik dan nas-nas yang sangat jelas berkaitan keperluan vaksin membuka minda peserta berikutan masih ramai yang keliru dengan penggunaan vaksin.


Tag: