Jalur Gemilang
Berita :
Ketua Hakim Negara Antara 128 Penerima Darjah Kebesaran Terengganu
Ketua Hakim Negara Antara 128 Penerima Darjah Kebesaran Terengganu
Mastura Jamal Din
57 minit yang lepas
54

KUALA TERENGGANU, 6 September - Ketua Hakim Negara, hari ini mendahului senarai 128 penerima Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada istiadat yang berlangsung di Istana Syarqiyyah di sini, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) Yang Amat Terpilih yang membawa gelaran Dato' Seri.

Turut menerima darjah kebesaran sama, Panglima Tentera Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Muhamad Norazlan Aris,
Timbalan Presiden Persatuan Ekuin Terengganu, Tan Sri Dato' Abdullah Taib dan Ambassador Qatar Embassy In Malaysia, TYT Salah Mohammed Abdullah Busiol Al- Sorour.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istiadat tersebut.

Bagi pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) Yang Amat Terpilih yang membawa gelaran Dato' pula antara penerimanya ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Che Mohd Ruzima Ghazali serta Penasihat Lembaga Pengarah Dan Mantan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Berhad, Dato' Mohamad Idham Nawawi.

Turut dianugerahkan DSMZ ialah Pengerusi Eksekutif Mirmas Holding Sdn. Bhd., Datuk Awalan Abdul Aziz dan Managing Partner Messrs Feroz @ Co, Dato' Feroz A S Moidunny.

Selain itu, Pemangku Raja Terengganu  turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) Yang Amat Dihormati yang juga membawa gelaran Dato' kepada 27 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Nawawi Ismail.

Antara penerima darjah kebesaran DPMT yang lain ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan, Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Terengganu, Idham Mustafa, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, M.Rozi Bidin dan Ketua Hakim Syarie, Wan Abd. Malik Wan Sidek.

Pemangku Raja Terengganu turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih kepada 17 penerima, Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (17 penerima), Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (20 penerima) dan Ahli Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (39 penerima).


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan