lightning-solid
Berita :
Khairy Semak Sendiri Prestasi MB Terengganu, Akui Hasil, Pelaburan Negeri Melonjak
Khairy Semak Sendiri Prestasi MB Terengganu, Akui Hasil, Pelaburan Negeri Melonjak
Husaif Mamat
13 jam yang lepas
2436

KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Seorang tokoh politik nasional, Khairy Jamaluddin, berkata beliau sendiri meneliti rekod pencapaian Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum membuat penilaian terhadap pentadbiran Menteri Besar Terengganu itu.

Menurutnya, beliau terdorong untuk membuat semakan selepas mendengar dakwaan bahawa Terengganu tidak menunjukkan pembangunan ketara di bawah kepimpinan semasa.

“Saya pun 'curious'. Saya nak tahu apa pencapaian Dr. Sam (Ahmad Samsuri) sewaktu beliau jadi Menteri Besar Negeri Terengganu, sama ada bagus atau tidak. Itu antara rujukan yang kita boleh buat, apa yang dia telah buat,” katanya dalam AudioSiar Keluar Sekejap bersama Syahril Hamdan.

Khairy berkata hasil semakan menunjukkan beberapa indikator utama mencatatkan peningkatan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12: 2021–2025).

Antaranya, hasil kerajaan negeri dilaporkan meningkat kira-kira 60 peratus antara 2018 hingga 2025.

Bekas Menteri Kesihatan itu menegaskan sebahagian besar peningkatan itu turut melibatkan penjanaan hasil negeri sendiri.

“Maknanya pendapatan kerajaan negeri Terengganu meningkat sewaktu tempoh itu,” katanya.

Dari segi pelaburan, beliau membandingkan nilai yang direkodkan antara dua tempoh rancangan pembangunan negara. 

Katanya, jika dalam RMK11 (2016–2020) pelaburan sekitar RM9.6 bilion direkodkan, angka itu meningkat kepada lebih RM14 bilion dalam RMK12.

Khairy turut merujuk kepada kadar pertumbuhan ekonomi negeri yang meningkat kepada 4.1 peratus dalam RMK12 berbanding 1.9 peratus pada tempoh sama dalam RMK11.

Beliau berkata peningkatan hasil negeri juga dijangka dipacu oleh projek-projek baharu yang diluluskan, termasuk projek solar terapung di Tasik Kenyir Fasa 1 yang dijangka menjana 640 megawatt tenaga elektrik.

Menurutnya, projek itu bukan sahaja menyumbang kepada penjanaan tenaga boleh baharu, malah berpotensi meningkatkan pendapatan negeri melalui fi penggunaan permukaan air.

Mengulas belanjawan negeri, Khairy berkata beliau turut meneliti pembentangan bajet bagi tahun 2026 yang menunjukkan lebihan (surplus), sekali gus menafikan tanggapan bahawa pentadbiran negeri berbelanja secara boros.

“Dia bentangkan belanjawan yang ada sedikit lebihan surplus. Pada masa sama, berjaya belanja untuk projek perumahan, pembasmian kemiskinan dan program sosioekonomi lain,” katanya.

Tambahnya, penekanan terhadap sekuriti makanan dan pembangunan industri halal juga antara fokus utama dalam perancangan negeri.

Khairy menegaskan pandangannya bukan bertujuan mempertahankan mana-mana pihak, sebaliknya hasil penelitian terhadap data dan laporan rasmi.

“Ini bukan saya 'spin' untuk dia. Saya 'check'. Ini memang betul. 'This is what he’s about',” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan