KUALA LUMPUR, 26 November – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak, menggesa kerajaan menyegerakan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal baharu susulan tahap kesesakan yang semakin kritikal di klinik sedia ada.
Dalam Sidang Kamar Khas Dewan Rakyat semalam, beliau memaklumkan bahawa cadangan perolehan tanah bagi projek berkenaan telah diluluskan oleh Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tapak baharu yang dicadangkan terletak berhampiran Open University di Gong Kijang, Kuala Nerus, dengan keluasan sekitar tujuh ekar.
Menurut beliau, walaupun projek ini dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) bagi tempoh 2031 hingga 2035, situasi semasa menunjukkan keperluan mendesak untuk mempercepatkan pelaksanaannya berikutan peningkatan mendadak jumlah pesakit.
“Klinik Kesihatan Bukit Tunggal kini berdepan kesesakan melampau, dengan jumlah pesakit mencecah 800 orang sehari. Penduduk di kawasan itu juga telah melebihi 50,000 orang. Keperluan kepada klinik baharu amat kritikal dan tidak boleh ditangguhkan lagi,” katanya.
Beliau turut meminta Menteri Kesihatan memperincikan status terkini projek tersebut serta memberikan penjelasan mengenai jangkaan tarikh permulaan dan tempoh siap pembinaan.
Dr. Alias menegaskan bahawa kemudahan baharu itu amat penting bagi memastikan rakyat di Parlimen Kuala Nerus memperoleh perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, moden dan efisien.
“Saya berharap projek ini diberi keutamaan oleh kerajaan demi kesejahteraan rakyat Kuala Nerus,” katanya.