• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Komen Peniaga Tentang PKP 3.0, ‘Total Lockdown’

KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan kerajaan dalam memutuskan penularan wabak COVID-19 mendapat respon yang pelbagai oleh sebahagian peniaga kecil.

Seorang peniaga, Ahmad Firdaus Abdul Talib, 31, berkata, kebenaran berniaga diberikan pihak berwajib melegakan mereka yang bergantung hidup menjual makanan.

“Alhamdulillah dalam keadaan PKP 3.0 ini, kerajaan masih benarkan kami berniaga untuk mencari pendapatan harian.

“Walaupun jualan tidak banyak seperti sebelum ini, namun cukup untuk saya sekeluarga untuk makan dan minum,” katanya ketika ditemu bual pemberita.

Luahan yang sama turut dikongsikan Wan Zaib Wan Abdullah, 42, ujarnya perniagaan yang diusahakan itu merupakan satu-satunya sumber mata pencarian untuk menyara kehidupan mereka.

“Ketika PKP 1.0 dulu, memang sangat terjejas sehingga hendak bayar sewa pun saya tidak mampu. Bila boleh berniaga dalam keadaan sekarang saya rasa bersyukurlah,” katanya.

Namun, Zulhisyam Awang, 36 pula memberikan pendapat berbeza dengan berharap agar kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’.

“Saya bersetuju sekiranya pihak kerajaan membuat ‘total lockdown’ untuk menurunkan bilangan kes jangkitan COVID-19. 

“Apabila kes turun dan semua aktiviti dapat dibenarkan semula, orang ramai dibenarkan semula untuk berekreasi di pantai dan kita boleh berniaga dan mendapat ramai pelanggan seperti sedia kala,” tambahnya. 

Sebentar tadi, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata. sepanjang tempoh ini semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, bantuan ekonomi kepada golongan tertentu sedang diperinci dan diumumkan dalam masa terdekat.