• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Kompleks Kegiatan Ibu Tunggal Bernilai RM4.5 Juta Kini Siap



Kompleks Kegiatan Ibu Tunggal di Chendering, Kuala Terengganu yang bernilai RM4.5 juta kini siap sepenuhya dan hanya menunggu penyerahan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) untuk beroperasi dalam tempoh terdekat.

Bangunan itu  dilengkapi bilik mesyuarat, tiga buah bilik aktiviti (spa, memasak, menjahit), sebuah pejabat pengurusan persatuan, surau, perpustakaan, gimnasium, cafe, enam unit kedai usahawan serta lima unit kiosk.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, bangunan itu akan beroperasi tidak lama lagi sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada 32,161 ibu tunggal yang berdaftar dengan YPKT di seluruh Terengganu.

Katanya, pusat sehenti untuk golongan ibu tunggal itu akan menjadi tempat bagi menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat dan dapat menjana ekonomi mereka bagi membaiki taraf kehidupan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi YPKT memperuntukkan pelbagai bantuan dan dana khusus untuk golongan ini termasuk bantuan perniagaan berupa pinjaman mudah tanpa faedah sehingga RM20,000 seorang.

"Pada tahun ini juga kerajaan menyediakan insentif perkahwinan RM1,000 seorang kepada ibu dan bapa tunggal yang berkahwin sebagai galakan dan perhargaan buat mereka.

"YPKT juga menyediakan kemahiran sokongan secara percuma kepada anak-anak ibu tunggal untuk tingkatkan kemahiran. Malah untuk persekolahan dan alam pendidikan anak-anak, kerajaan juga  menyediakan tuisyen bagi membantu meringankan beban ibu tunggal,"katanya.

Menurut beliau lagi, pihaknya juga menyediakan RM5,000 kepada setiap 32 Kelab Ibu Tunggal Dewan Undangan Negeri bagi memastikan mereka juga tidak terlepas dari arus pembangunan negeri.

Katanya, menerusi bajet tahun ini juga, kerajaan menyediakan RM1 juta yang mampu memberi manfaat kepada 15,000 ibu bapa tunggal bagi tujuan program peningkatan ekonomi, bimbingan perundingan, program pemantapan keluarga tunggal dan sokongan sosial serta program kesedaran penjagaan kesihatan.



Tag: