Berita :
KPA Perlu Ditubuhkan Segera Perkasa Pengurusan Air Pesawah Di Batu Rakit
KPA Perlu Ditubuhkan Segera Perkasa Pengurusan Air Pesawah Di Batu Rakit
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
71

KUALA TERENGGANU, 4 Mei – Penubuhan Kumpulan Pengguna Air (KPA) dikenal pasti sebagai keperluan mendesak bagi memperkukuh pengurusan skim padi di kawasan Batu Rakit.

 Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, ketika ini kawasan tersebut masih belum mempunyai KPA, sekali gus menjejaskan penyelarasan dalam kalangan pesawah.

 Menurut beliau, KPA berfungsi sebagai satu bentuk persatuan yang membolehkan pesawah berbincang dan bertindak secara kolektif, khususnya dalam aspek pengurusan air dan pematuhan jadual penanaman.

 “Skim padi tidak boleh diurus secara individu. Ia memerlukan kerjasama berpasukan supaya semua perkara seperti jadual tanaman dan pengairan dapat diselaraskan dengan baik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program dialog Bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Maras / Batu rakit  di Pusat Pengumpulan Hasil PPK Maras, Kuala Nerus, hari ini.

Azman turut memaklumkan bahawa tahap penyelarasan di Batu Rakit masih ketinggalan berbanding beberapa kawasan lain yang telah mempunyai sistem pengurusan lebih tersusun.

Sehubungan itu, usaha penubuhan KPA akan diberi perhatian oleh jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan skim padi di kawasan berkenaan dapat dipertingkatkan.

 Langkah tersebut dijangka mampu meningkatkan kecekapan pengurusan air, seterusnya membantu menambah hasil pengeluaran padi serta memperkukuh keterjaminan makanan negeri.

 Sementara itu, menurut beliau, kerajaan negeri berperanan sebagai pengantara bagi menyelaras tindakan antara agensi, khususnya dalam perkara yang berada di bawah bidang kuasa Persekutuan seperti bekalan input pertanian.

“Antara yang dibangkitkan termasuk bekalan input daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, selain isu pemutuan di bawah kawal selia kilang,” katanya.

 Beliau turut menegaskan bahawa aspek pengairan menjadi fokus berterusan kerajaan negeri, khususnya di Batu Rakit yang menerima peruntukan tahunan bagi menaik taraf dan membina sistem baharu.

 Langkah itu bertujuan membolehkan pesawah meningkatkan kekerapan penanaman daripada sekali kepada dua kali setahun, sekali gus memperbaiki kesuburan tanah.

 Namun, beliau mengakui hasil pengeluaran semasa masih rendah, iaitu sekitar 500 kilogram per ekar, sekali gus menjadi antara isu penting yang perlu diberi perhatian segera.

 "Dalam masa sama, isu harga padi turut dianggap kritikal apabila kos pengeluaran semakin meningkat.

 “Petani tidak meminta lebih, tetapi mahukan harga yang setimpal dengan kos semasa. Jelas sekali RM1,500 bukan lagi kadar yang sesuai ketika ini,” ujarnya.

 Tambah beliau, isu baja pula bergantung kepada sistem pembekalan kerajaan Persekutuan dan tidak berada di bawah kawalan kerajaan negeri.

 Menurut Azman lagi, program tersebut merupakan inisiatif berkala bagi menilai isu semasa, memperkukuh penyelarasan dan memastikan sektor pertanian terus diperkasa secara menyeluruh.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan