• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KPDNHEP Pantau Ketulenan Emas, Logam Berharga

KUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas ketulenan logam berharga melalui Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Dibuat Daripada Logam Berharga 1994) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, ia bagi memastikan pematuhan peniaga ke atas peruntukan undang-undang ini dipatuhi sepenuhnya. 

"Sejak tahun 2019 sehingga tahun 2021, sebanyak 42 tindakan kes telah diambil berhubung isu logam berharga ini melibatkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM53,463.00 manakala sebanyak RM7,700.00 kompaun telah dikeluarkan dan denda sebanyak RM20,000.00 telah dikenakan kepada syarikat atau individu yang terlibat.

"Sepanjang tahun 2021 pula, sehingga Oktober 2021, sebanyak 11 aduan telah diterima oleh KPDNHEP dan sembilan tindakan kes telah disiasat melibatkan nilai rampasan sebanyak RM3,950.00," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Azman, bagi memastikan tindakan penguatkuasaan ke atas pemeriksaan logam berharga itu dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berkesan, KPDNHEP melalui Bahagian Penguat Kuasa (BPGK) telah membuat perolehan bagi dua set peralatan pengujian ketulenan logam berharga pada tahun 2020.

"Setiap set peralatan ini mengandungi beberapa alat termasuk Radas Sinaran Sinar-X (Thermofisher Scinentific NITON DXL 800) atau lebih dikenali sebagai alat XRF.

"Alat XRF merupakan suatu alat pengujian ketulenan logam berharga yang menggunakan kaedah pengujian tanpa musnah (Non-Destructive Testing Method) ke atas lebih 100 jenis unsur logam seperti emas, perak, gangsa dan lain-lainnya," jelasnya.

Mengulas lanjut, menurutnya, KPDNHEP juga akan menambah lebih banyak alat ujian XRF ini berserta Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS) dan Pekerja Sinaran (PS) dari semasa ke semasa bagi membolehkan lebih ramai anggota penguat kuasa KPDNHEP berkelayakan untuk mengendalikan alat ini.

"Ini sekali gus akan menyebabkan tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh dan berkesan di seluruh negara," katanya.

Setakat ini, KPDNHEP telah menjalankan tiga siri pemeriksaan ketulenan logam berharga di Jalan Masjid India (Kuala Lumpur), Pekan Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan juga AEON Mall Shah Alam (Selangor).

Secara keseluruhan, sebanyak 11 premis kedai emas telah diperiksa dengan menggunakan alat XRF ini. Barang kemas yang diperiksa adalah emas yang berupa gelang, cincin, loket, rantai dan juga subang.

"Pihak KPDNHEP ingin memberikan amaran kepada semua peniaga yang menjual logam berharga ini agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan ini dan tidak mengambil kesempatan dengan menjual logam berharga yang tidak tulen kepada pengguna.

"Syarikat atau individu yang gagal mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Dibuat Daripada Logam Berharga) 1994, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000.00 bagi pertubuhan perbadanan manakala bagi individu didenda tidak melebih RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sekiranya pengguna mempunyai maklumat berkenaan salah laku peniaga berhubung perkara ini bolehlah melaporkan kepada KPDNHEP melalui saluran berikut:

i.    Portal e-aduan.kpdnhep
ii.    Call Centre 1-800-886-800
iii.    Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
iv.    Ez ADU KPDNHEP
v.    Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245
vi.    Whatsapp 019-279 4317