• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KPWKM Dekati Masyarakat Daftar OKU



Azizah berbual mesra dengan pelajar OKU pada Program Roadshow  Pelan Tindakan OKU 2016-2022  Zon Pantai Timur, di Taman Sinar  Harapan, Kuala Terengganu, Foto oleh Zulkifli Putra.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)  kini giat mendekati masyarakat, termasuk di kawasan pedalaman bagi memudahkan mereka mendaftarkan ahli keluarga yang terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU).

Timbalan Menteri kementerian itu, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, OKU merupakan kumpulan sasaran agensi terbabit demi menjamin kebajikan mereka.

Katanya,  sepuluh  peratus daripada jumlah penduduk Malaysia terdiri daripada golongan OKU namun hanya 50 peratus  atau seramai 392,055 daripadanya berdaftar sebagai golongan OKU.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan yang mewakili kepentingan OKU,  segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan dan swasta,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengikuti Program Roadshow  Pelan Tindakan OKU 2016-2022  Zon Pantai Timur, di Taman Sinar Harapan, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri,  Roslee Daud.

Azizah berkata, melalui pelan tindakan yang diperkenalkan itu, menyenaraikan 10 teras strategik, termasuk meningkat aksesibiliti golongan OKU, memperkasakan ekonomi, meningkatkan akses bidang pendidikan, memperkukuhkan perkhidmatan sosial dan konvensyen mengenai hak OKU.

“Apa yang dilaksanakan itu semata-mata mahu golongan OKU mendapat pembelaan sewajarnya, baik daripada segi kebajikan, pendidikan dan hak-hak tertentu,” katanya.



Tag: