• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Krisis Air Isu Bersama, Usah Perlekehkan Sesiapa – Dr Azman

SETIU, 6 September – Krisis air yang sedang melanda salah sebuah negeri di Malaysia ketika ini merupakan isu bersama yang tidak patut perlekehkan mana-mana pihak. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata isu besar ini merupakan masalah sejagat di Malaysia dan tiada negeri bebas sepenuhnya daripada kemelut itu.

"Sama ada masalah terputus terus bekalan air, tekanan air rendah, kualiti air yang rendah atau kawasan penempatan penduduk yang belum dapat bekalan air bersih.

"Jadi, seeloknya jangan ada siapa yang memperlekehkan sesiapa. Ini adalah isu kita bersama. Bezanya ada negeri yang agak ringan masalah dan ada negeri yang sangat kronik.’’ beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, pihaknya terus komited untuk meminimakan sedaya mungkin jumlah penduduk yang belum mendapat bekalan air bersih. 

"Kerja-kerja pemasangan paip air di Jabi memang agak intensif kita buat sama ada daripada peruntukan ADUN, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan ada ketikanya sumber dalam poket sendiri. Yang penting isu air ini perlu ditangani secara berperingkat.

"Terdapat berbelas buah rumah di Kampung Kuala Kubang masih menggunakan air daripada sumber Air Terjun Lata Belatan, Jabi. Air yang berpunca dari Gunung Tebu ini sangat sejuk, bersih dan segar.

''Dah berpuluh tahun saliran paip sepanjang lebih tiga kilometer dari kaki gunung ke rumah penduduk tak diselenggara dan dah banyak yang rosak dan bocor. Kita keluarkan sedikit belanja bagi kerja-kerja penggantian paip dan beberapa peralatan lain. Dalam hal ini pemimpin setempat perlu proaktif. Kenal pasti masalah di kawasan masing-masing dan angkat permohonan bajet ke atas," ujarnya lagi.