Berita :
Krisis Diesel : Terengganu Susun Langkah Segera Bantu Warga Tani
Krisis Diesel : Terengganu Susun Langkah Segera Bantu Warga Tani
Hidayah Azlin
3 jam yang lepas
90

​KUALA TERENGGANU, 9 April – Kerajaan Negeri Terengganu sedang menyusun langkah proaktif bagi mengurangkan bebanan yang dipikul oleh warga tani susulan krisis kenaikan kos sara hidup dan gangguan rantaian ekonomi melibatkan bahan api diesel ketika ini.

​Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menyifatkan diesel sebagai darah yang mengalir dalam arteri ekonomi negara, memandangkan majoriti sektor pengeluaran bergantung sepenuhnya kepada bahan api tersebut.

​Menurut beliau, sekiranya aliran darah ekonomi ini tersumbat atau tidak lancar, ia akan memberi kesan langsung kepada fungsi organ ekonomi yang akhirnya menjejaskan kelangsungan hidup rakyat.

​"Kapal laut, lori, kereta api, bot nelayan, jentera pertanian malah janakuasa elektrik juga digerakkan oleh diesel. Jika dibiarkan tanpa rawatan yang betul, ekonomi akan menjadi tenat.

​"Saya nilai sekarang banyak sektor ekonomi mula terlantar di zon kuning wad kecemasan. Kalau dibiarkan lagi, mungkin akan berpindah ke zon merah dan seterusnya terpaksa ditidurkan," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

​Bagi mendepani situasi mencabar ini, Dr. Azman mengumumkan beberapa inisiatif segera yang sedang dirangka oleh kerajaan negeri khusus untuk membantu golongan petani, penternak, dan nelayan di Terengganu.

​Antara langkah utama yang bakal dilaksanakan termasuklah moratorium pinjaman iaitu pemberian penangguhan bayaran balik sementara kepada peminjam Skim Pinjaman Modal Tani Kerajaan Negeri Terengganu untuk tempoh yang akan ditetapkan.

Selain itu, penyusunan pemberian bantuan input pertanian bagi mengimbangi kos pengeluaran yang semakin meningkat.

​Jelas beliau, langkah-langkah tersebut merupakan respons segera kerajaan negeri dalam mendepani impak krisis global yang sedang berlaku ketika ini.

​"Kita sedang menyusun beberapa langkah segera untuk mengurangkan beban warga tani dalam tempoh krisis global yang sedang berlaku sekarang," tambah beliau lagi.

​Terdahulu, keresahan mengenai penyelarasan subsidi diesel dan kenaikan harga input pertanian menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pemain industri asas tani yang bimbang akan kelestarian sektor keterjaminan makanan negara.


 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan