KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Parti Islam SeMalaysia (PAS) menegaskan pendirian untuk bersama mana-mana negara yang dianggap dizalimi dalam konflik antarabangsa, termasuk ketegangan melibatkan Iran dan Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, umat Islam perlu mengambil sikap jelas dalam isu global dengan berpihak kepada pihak yang ditindas tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau mazhab.
“Kita tunggu dan lihatlah, apa yang penting ialah sikap kita dalam konteks politik antarabangsa ini. Kita umat Islam mestilah bersama-sama dengan pihak yang dizalimi tanpa mengira apakah agama, bangsa, anutan dan mazhab mereka,” jelasnya.


"Dalam konteks ini, Iran adalah satu negara yang dizalimi, diserang, dibunuh pemimpin mereka, dibunuh rakyat yang tidak berdosa," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, PAS sebelum ini sering menzahirkan pendirian solidariti terhadap isu-isu kemanusiaan dan penindasan di peringkat antarabangsa, selaras dengan pendekatan dasar luar berasaskan nilai kemanusiaan dan keadilan.
Ketegangan Iran–Israel terus menjadi perhatian dunia susulan peningkatan insiden keselamatan dan pertembungan geopolitik di rantau Timur Tengah, yang turut mengundang reaksi pelbagai pihak di peringkat antarabangsa.
Tag :