• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kuih Che Abas Demam, Uniknya Nama Hanya Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Mendengar nama kuih Che Abas Demam pasti menimbulkan rasa ingin tahu dikalangan netizen tentang bagaimana rupa dan rasa makanan unik yang hanya boleh didapati di Terengganu dan sangat sukar ditemui.

Adunan sagu yang kenyal dimakan dengan kuah santan yang dicampur dengan ikan, bawang dan halba memberikan satu citarasa yang cukup beraroma serta membangkitkan keinginan untuk mencubanya malah tidak mustahil boleh membuka selera orang demam.

Kini makanan tradisional Terengganu yang hampir dilupakan kembali viral dengan harga serendah RM3 untuk jualan atas talian setelah diperkenalkan kembali oleh pihak pengurusan Hotel Permai.

Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata idea untuk menghidupkan kembali kuih tradisi ini adalah cetusan idea tukang masak hotel yang mencipta kelainan dalam mempromosikan hidangan mereka.

“Kuih Che Abas demam adalah satu hidangan istimewa kerana jarang dikenali ekoran sukar diperoleh dan Hotel Permai memperkenalkannya semula kepada generasi sekarang.

"Warisan tradisi tidak seharusnya dilupakan. Ia perlu dikekalkan dan ditonjolkan semula kepada masyarakat supaya ianya tetap dikenali biarpun zaman telah berubah," katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui hari ini.

Tambahnya, terdapat juga empat jenis lagi kuih tradisional Terengganu popular ketika Ramadan iaitu  koleh lemak sambal ikan, puteri mandi susu, onde-onde dadih dan sira labu yang dijual serendah RM3.

Sementara itu, Chef Mat Andri Abas, 49 berkata idea untuk membuat kuih Che Abas Demam adalah untuk mengetengahkan kuih yang telah lama wujud tetapi suram kerana kurang promosi mengenainya.

"Jadi saya dan pihak hotel membuat keputusan untuk hidupkan balik dan ketengahkan sebagai salah satu menu yang terdapat sepanjang bulan Ramadan kali ini," ujarnya lagi.

Menurut Mat Andri, setiap hari beliau memerlukan lima hingga 10 kilo sagu bersama 10 kilo santan pekat untuk menghasilkan 500 bekas Che Abas Demam mengikut tempahan pelanggan atas talian.