• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Kuota 10 Peratus Rumah Untuk Belia Bujang




Terengganu  menetapkan 10 peratus kuota setiap projek perumahan kerajaan diberikan kepada golongan belia yang belum berkahwin di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat berkata, syarat itu termaktub antara dasar Transformasi Terengganu Baharu (TTB) seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar,  Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman sebelum ini.

"Tetapi permohonan haruslah mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan mengikut syarat-syarat yang telah diberikan. Jika tiada permohonan, barulah kita buka kepada golongan lain untuk membuat permohonan,"katanya pada pemberita selepas merasmikan Program Bakti Siswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Telemong, hari ini.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor UniSZA,Dr Afandi Mohammad.

Seramai 71 mahasiswa UniSZA bersama 40 keluarga angkat dari Kuala Telemong terlibat dalam Program Bakti Siswa kali ini.

Sementara itu, Rozi menyambut baik saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk meneruskan siri jelajah dialog aspirasi Tranformasi Nasional 2050 (TN50)yang mampu mencetuskan kejayaan kepada misi yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Katanya, jika ini dapat diteruskan dalam siri jelajah akan datang, pihaknya yakin sesi dialog ini dapat mencetuskan kejayaan dengan banyak cadangan golongan belia secara telus dapat dijadikan asas kepada TN50.

"Kita akan teruskan siri jelajah ini ke semua sembilan daerah di Terengganu supaya TN50 akan menjadi medan untuk orang muda bersuara tanpa sempadan dan keluhan mereka, kita akan bawa ke sekretariat pusat untuk dinilai,"kata Rozi.

Dalam perkembangan lain, beliau ketika mengulas status pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu berkata, projek yang menelan belanja RM50 juta  itu sedang berjalan dengan baik.

"Jika tiada masalah dengan pembinaan yang sedang rancak berjalan, kita jangka ianya akan siap sepenuhnya pada 2018 dengan dilengkapi pelbagai kelengkapan sukan untuk generasi muda Hulu Terengganu.

"Kompleks ini akan menjadi satu mercu tanda baharu bagi kerajaan negeri dan dan Kuala Berang khususnya.Saya harap orang muda mendapat pelbagai faedah apabila ia beroperasi kelak,"kata Rozi lagi.


Tag: