• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Lagi Hukuman Sebat Jenayah Syariah Terengganu

Tertuduh (dua dari kiri), 30, dibawa keluar selepas dijatuhkan hukuman sebatan syarie 6 kali sebatan dan 6 bulan penjara.

KUALA TERENGGANU - Mahkamah menjatuhkan hukuman sebatan syarie iaitu 6 kali sebatan dan 6 bulan penjara ke atas seorang ibu tunggal selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini (27 September 2018).

Tertuduh, 30, yang melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri dijatuhkan hukuman tersebut, dengan dibacakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Rosdi Harun selepas hampir 1 jam tempoh jatuh hukum.

Hukuman tersebut berkuatkuasa serta merta dan tertuduh dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Sebatan syarie kali kedua susulan hukuman sama ke atas pasangan pesalah lesbian yang menimbulkan polemik baru-baru ini, (3 September) akan dijalankan di dalam penjara tempat tertuduh ditahan.

Hukuman takzir tersebut dikenakan oleh hakim bicara atas ikrar mengaku bersalah tertuduh selepas pertuduhan kali kedua pada 23 September.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Rosdi Harun ketika membacakan penghakimannya menyatakan, dalam tempoh tertuduh ditahan dan dihadapkan, tindak balas tertuduh dalam ruang masa yang diberikan memberi anggapan yang tidak elok kepada sifat Orang Kena Tuduh (OKT).

"Tiada satu pun keluar dari mulutnya, saya insaf, saya bertaubat, hanya permintaan untuk tidak menetapkan hukuman penjara selama 3 tahun, itu sahaja," ujarnya.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai pencanting batik sambilan itu didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik 507 hotel berkenaan bersama seorang pelanggan pada 17 September antara 11.20 malam hingga 11.45 malam.

Serbuan penguatkuasa syariah daerah di hotel berkenaan menemukan tertuduh yang berbaju tidur tanpa lengan serta 11 barangan yang disahkan milik wanita itu termasuk kondom, minyak pelincir, coli dan seluar dalam yang dirampas dalam serbuan.

Difahamkan, tertuduh juga menerima bayaran RM100 daripada pelanggan untuk melakukan perbuatan itu pada hari sama ketika ditahan.

Tertuduh yang merupakan ibu tunggal mempunyai anak perempuan dan telah bercerai dengan bekas suaminya pada tujuh tahun yang lalu.


Tag: