• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Laluan ECRL Diubah, Rancak Sektor Pelancongan


Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Pantai Timur akan mengalami beberapa perubahan laluan di negeri ini demi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri telah memutuskan dalam mesyuarat Exco Rabu lalu penambahan beberapa jajaran baru bagi projek ECRL yang akan bermula Julai ini.

Menurut Ahmad Razif, ianya akan mengekalkan lapan stesen dengan pindaan lokasi stesen dan penambahan empat jejari jajaran berbanding dua sebelum ini.

Beliau berkata, mengikut cadangan asal, ia membabitkan jarak sepanjang 234 kilometer (km) dari Kampung Raja ke Kemaman tetapi cadangan baru adalah sejauh 227 km dengan cadangan bagi empat jejari jajaran adalah 71 km.

"Ia membabitkan jarak sejauh 298 km yang mana kita mengekalkan Stesen Kampung Raja, Stesen Penarik, Stesen Dungun dan Stesen Chukai.

"Selain itu, kita turut mencadangkan stesen baru iaitu Stesen Kuala Nerus, Stesen Kuala Telemong dan Stesen Pengkalan Berangan yang pada asalnya adalah Stesen Ajil serta Stesen Kemasik bagi menggantikan Stesen Paka," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pengkalan Titian, Lembah Harapan dan menyampaikan bantuan kepada penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mengadakan lawatan ke atas pesakit dan warga emas di Seberang Takir, hari ini.

Bagaimanapun katanya, Stesen Bukit Besar tidak dapat direalisasikan kerana merentasi banyak kawasan pembangunan selain radius dan sudut laluan terlalu tajam yang tidak sesuai dengan kelajuan kereta api.

Menurut Ahmad Razif, perubahan dilakukan kerana beberapa faktor seperti lokasi tidak sesuai dan keselamatan yang mana pemilihan lokasi baru berdasarkan konsep pelancongan dan warisan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak ketika pembentangan Bajet 2017 mengumumkan kerajaan akan membina landasan kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Terengganu seterusnya ke Tumpat, Kelantan membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM55 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022.




Tag: