• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Laluan Warisan Mat Kilau Produk Pelancongan Dua Negeri

KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pahang untuk mengetengahkan laluan Mat Kilau sebagai produk pelancongan dua hala antara dua negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata jika direalisasikan, ia mampu  membawa masyarakat ke sudut sejarah yang berbeza dengan menjejaki laluan yang pernah dilalui oleh Mat Kilau semasa perjuangannya menentang British suatu masa dahulu.

Katanya, ia dapat mengembalikan nostalgia dan kegemilangan sejarah serta jejak-jejak dan tinggalan sejarah Pahlawan Melayu yang terkenal iaitu Mat Kilau dan rakan-rakannya di Pasir Raja, Dungun yang merentasi hutan khatulistiwa ke Hulu Tembeling, Pahang.

"Saya difahamkan jelajah laluan warisan itu sememangnya mencabar sehingga mengambil masa dua hingga hari untuk tamat jadi satu perbincangan akan diadakan dengan pihak berkaitan untuk melaksanakannya.

"Ia juga turut membawa mengenali kubu Mat Kilau serta mengenali keunikan alam semulajadi dengan lebih dekat melalui aktiviti sepanjang 'hiking'," katanya ketika ditemui pemberita.

Tambahnya, penambahbaikan akan turut dilaksanakan bagi kemudahan sepanjang jejak Mat Kilau seperti keselamatan, hentian rehat dan lain-lain bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk melaluinya.

Difahamkan laluan antara Pahang dan Terengganu agak berbukit bukau serta laluan sungai yang perlu diharungi hampir 60 peratus daripada keseluruhan perjalanan melalui laluan itu.