• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Laporan Sudah Dibuat, Bila Zahid Akan Disiasat?

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Setelah empat hari laporan dilakukan berkenaan ucapan berbaur rasuah yang dilakukan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, rakyat Malaysia masih menunggu tindakan daripada pihak berkuasa.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, tindakan ke atas Zahid wajar dilakukan segera kerana ucapannya jelas bermatlamat meraih undi.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu telah membuat laporan berkenaan isu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lepas.

"Hari ini (semalam) sudah hari Khamis, kami masih belum menerima sebarang makluman dan perkembangn sama ada laporan ini sudah bermula siasatan atau pun tidak," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS semalam.

Katanya, perkembangan semasa mengenai kes tersebut sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat kerana ia membabitkan imej negara.

"Saya harap kes ini perlu disiasat segera, sebagaima segeranya siasatan dan pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah sebelum daripada ini," katanya lagi.