• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Lawatan Mobile Team Marang Kenal Pasti Bantuan Untuk Golongan Sasar


Oleh: Ahmad Fadhilah

MARANG – Kerjasama tiga agensi kerajaan melibatkan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya menggerakkan ‘Lawatan Mobile Team' Daerah Marang.

Program berkonsepkan lawatan dari rumah ke rumah bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang bersesuaian untuk peserta terpilih yang boleh diagihkan dengan kadar segera.

Timbalan Penyelia Institut modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Fatimah Mohamad berkata, seramai tiga peserta dari DUN berkenaan terpilih, masing-masing ialah pesakit strok Ghazali Deris dari Kampung Padang Pak Wan dan Zaimas Mohd dari Kampung Pak Madah serta golongan asnaf, Maini Che Mat dari Kampung Wakaf Dua, Tasek.

Katanya, antara maklumat dan bantuan yang boleh diberikan melibatkan bantuan sara hidup, bantuan perubatan, bantuan lampin pakai buang, bantuan penjaga pesakit terlantar, bantuan sewa rumah dan bantuan kanak-kanak.

"Bantuan ini juga sejajar dengan program yang kita lancarkan dengan kerjasama tiga agensi ini , sekali gus dapat mengurangkan bebanan rakyat yang miskin serta memerlukan," katanya.

Turut serta, Ahli Jawatankuasa MPKK setiap kampung berkenaan.

Dalam pada itu, petugas dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) sempat menyediakan sumbangan berupa keperluan harian yang disampaikan oleh Puan Fatimah kepada peserta.



Tag: