lightning-solid
Berita :
Lebih RM500,000 Diperuntuk Bagi Program 'Back to School'
Lebih RM500,000 Diperuntuk Bagi Program 'Back to School'
Rohayati Ripin
9 jam yang lepas
97

KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Lebih RM500,000 diperuntuk kerajaan negeri dengan kerjasama Iman Care dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan, termasuk Program 'Back to School' yang memberi manfaat kepada ribuan pelajar sekolah rendah serta menengah di seluruh Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, peruntukan tersebut dimanfaatkan sepanjang November dan Disember lalu bagi membantu keluarga kurang berkemampuan membuat persiapan menjelang sesi persekolahan baharu awal tahun ini.

Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat di peringkat akar umbi, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama jentera di semua peringkat dan sukarelawan, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda utama,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, program berkenaan dilaksanakan di lapan kawasan melibatkan beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di Besut, bantuan diagihkan di DUN Kuala Besut (100 penerima), Kota Putera (888), Jertih (228) dan Hulu Besut (586) manakala di  Setiu pula, penerima melibatkan DUN Jabi (100), Permaisuri (100), Langkap (102) dan Batu Rakit (100).

Sementara itu, di Kuala Terengganu, seramai 750 penerima menerima sumbangan melibatkan DUN Wakaf Mempelam (300), Bandar (100), Ladang (250) dan Batu Buruk (100).

Di Dungun, program dilaksanakan di DUN Sura (200), Bukit Besi (100), Paka (130) dan Rantau Abang (100).

Bagi Hulu Terengganu, bantuan melibatkan DUN Ajil (200), Kuala Berang (100) dan Telemong (100), manakala di Manir seramai 100 penerima turut dibantu.

Di Kemaman, sumbangan disalurkan kepada penerima di DUN Kemasik (100), Cukai (300), Air Putih (100) dan Kijal (100).

Manakala di Marang, program melibatkan DUN Alor Limbat (100), Bukit Payung (100), Rhu Rendang (100) dan Pengkalan Berangan (250).

Bagi Kuala Nerus, bantuan diberikan kepada penerima di DUN Tepoh (385), Bukit Tunggal (400), Seberang Takir (100) dan Buluh Gading (100).

Justeru itu, beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memperkasa agenda kebajikan dan pembangunan sosial secara berterusan selaras dengan keperluan semasa masyarakat demi kesejahteraan bersama.


Tag :

Artikel Berkaitan