• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lesen Nelayan Kelas A Dibuka Semula, 800 terima Manfaat

Foto oleh : Hidayah Azlin 


DUNGUN, 26 Julai - Seramai 800 nelayan aktif dan tulen di negeri ini bakal menerima manfaat apabila Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia melalui Jabatan Perikanan Malaysia akan membuka semula Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) dalam masa terdekat.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemberian  lesen vesel nelayan kelas A itu bertujuan memudahkan urusan perlindungan insurans dan elaun sara hidup kerana ramai nelayan terpaksa turun ke laut dengan risiko sendiri.


“Kita melihat bahawa ramai nelayan tulen bukan sahaja di Terengganu tetapi di negeri lain yang tidak mempunyai lesen dan terdapat juga dalam kalangan mereka yang berlesen bukan nelayan tulen. 


“Justeru, dalam proses melesenkan nelayan tulen, pihak Jabatan Perikanan Malaysia juga akan melalukan pemutihan terhadap pemegang lesen yang ada sekarang ini.


“Kita akan mewujudkan satu ‘database’ zon A yang melibatkan pemutihan dan pemberian lesen dimana di Negeri Terengganu sendiri lebih 800 nelayan sampan akan menerima manfaatnya,” ujar beliau sempena sesi ‘walkabout’ dan ramah mesra bersama nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Sementara itu, Dr Azman berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada MAFI yang memberi perhatian terhadap masalah yang membelenggu nelayan negeri ini.

“Saya berterima kasih kepada pihak MAFI khususnya Jabatan Perikanan Malaysia di atas respon yang sangat positif untuk menyelesaikan isu yang dihadapi nelayan kita yang mana didapati sebagaian besar daripada mereka ada yang ke laut sejak muda sampai ke tua tetapi tidak berlesen.


“Di pihak kerajaan negeri kita melihat isu nelayan sampan atau nelayan zon A yang tiada lesen ini sebagai isu lapuk yang perlu diselesaikan,” ujarnya.


Justeru katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan ‘task force’ bersama jabatan berautoriti dan berkaitan termasuk Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, LKIM Negeri Terengganu dan juga persatuan-persatuan nelayan yang diurusetiakan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini.


“Sebelum ini, kita telah buat dua kali mesyuarat dan proses pemutihan di peringkat negeri dan selepas pemutihan akhirnya kita keluarkan sekitar 800 lebih nelayan sampan yang tidak berlesen dan telah diangkat permohonan kepada pihak kementerian,”ujarnya.


Katanya, nelayan yang tidak berlesen terdedah kepada pelbagai risiko diantaranya jika terlibat dengan kemalangan atau bencana di laut tidak ada suatu pelindungan yang boleh melindungi mereka.


“Mereka juga tidak dapat faedah seperti elaun sara hidup nelayan, subsidi minyak dan sebagainya dan yang merugikan negeri kita ialah bila tangkapan dibuat oleh nelayan tidak berlesen bermakna hasil tangkapan mereka tidak direkodkan,” ujarnya.


Katanya, beliau turut dimaklumkan oleh pihak kementerian bahawa Terengganu adalah  negeri pertama yang ambil langkah ‘bottom to top’ dengan mengambil inisiatif sendiri cuba menyelesaikan isu ini dengan membawanya kepada peringkat kementerian.


Disamping itu katanya, kerajaan negeri turut menekankan kepada program memperkaya sumber perikanan seiring pemberian lesen kepada nelayan.
Dalam usaha menambahkan bilangan nelayan yang mempunyai lesen, dalam masa yang sama sumber perikanan turut diberi perhatian melalui program melabuhkan tukun dan unjam,” ujarnya.