• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Liga Darul Iman : Setiu, Kuala Nerus Terikat Tanpa Jaringan

Aksi sengit kedua-dua pasukan.

Oleh : Fahmi Izzuddin

SETIU, 7 Mac - Pasukan Setiu FA gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan berdepan Kuala Nerus dalam perlawanan yang berlangsung di Padang Mini Stadium Sungai Tarom semalam.

Setiu yang diketuai Norhisyam Yaacob buntu mencipta gol walaupun berkali-kali mengasak kubu pasukan pelawat yang dibarisi bekas pemain Terengganu FC, Ismail Faruqi.

Ketua Jurulatih Pasukan Setiu, Shahrizan Che Abd Rani berkata, meskipun hanya berjaya mengutip satu mata, pasukannya masih berpeluang untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Kita mempunyai peluang cerah untuk melayakkan diri ke separuh akhir sekiranya menang baki perlawanan peringkat kumpulan menentang pasukan Besut minggu hadapan, walau bagaimanapun pasukan Besut tidak boleh dilihat mudah.

“Kita telah kenal pasti bahagian yang perlu diperkuatkan bagi mengharungi baki perlawanan peringkat kumpulan ini dan corak permainan serta strategi kita akan ubah supaya bahagian serangan lebih berkesan bagi menghasilkan gol,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini semalam.

Hadir sama menyaksikan perlawanan petang tadi Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Dato’ Abdul Halim Jusoh.

Pasukan Setiu ketika ini mengumpul empat mata hasil daripada dua perlawanan sebelum ini.

Kira-kira 400 orang penonton hadir menyaksikan perlawanan pada petang ini yang rata-rata adalah penduduk tempatan dan peminat bola sepak.

Padang Mini Stadium Sungai Tarom aktif digunakan sebagai tempat rasmi bagi perlawanan bola sepak sama ada melibatkan peringkat DUN mahupun daerah.


Tag: