• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Lima Jam Susuri Sungai Dengan Semangat Pahlawan

 

HULU TERENGGANU, 16 September - Berbekalkan semangat pahlawan dan ulamak melayu yang memperjuangkan kedaulatan bangsa dan tanahair, Belia Sahabat Sejahtera Telemong dengan kerjasama Pusat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong telah menganjurkan Jejak Pahlawan Berakit Menyusuri Sungai Terengganu.

Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata antara objektif program bagi menghidupkan kembali nostalgia berakit, menyelami pengorbanan generasi dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dalam serta menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan penduduk.

Tambahnya, ekspedisi kali kedua yang diadakan ini akan bermula di kampung Dusun dan berakhir di kampung Mesah, Kuala Telemong. 

“Ekspedisi berakit pada kali ini akan menyusuri Sungai Telemong dan Sungai Terengganu sejauh lebih kurang 30 kilometer yang mengambil masa hampir lima jam.

"Seramai 150 peserta mengambil bahagian dengan menggunakan 25 buah rakit yang mengandungi enam orang peserta bagi setiap rakit  pada kali ini.

"Ia melibatkan penyertaan pelbagai agensi dan jabatan termasuk polis, bomba dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan pematuhan norma baharu yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan akibat wabak pandemik Covid19,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian Jejak Pahlawan Berakit Menyusuri Sungai Terengganu, di Kampung Dusun hari ini.

Menurut Safari, setiap rakit dinamakan dengan nama-nama pahlawan dan ulama yang mempunyai jasa dalam perjuangan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

"Kita namakan rakit-rakit ini dengan nama mereka yang banyak berjasa antaranya Tok Gajah, Dato' Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Raja Ri dan Mat Kilau.

Tambah beliau lagi, sejarah pernah membuktikan laluan yang dilalui pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan penting daripada pedagang dahulu serta para tabligh dalam menyampaikan syiar Islam.

Menurutnya kawasan itu perlu dibangunkan semula tanpa meminggirkan ciri-ciri tradisionalnya untuk tatapan pelancong dan generasi baharu mengenai sejarah kegemilangan lokasi berkenaan.