• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Logo Songket Asli Tenunan Tangan Terengganu Dilancar Mudahkan Pengguna Kenali Songket Tulen


Logo khas songket asli tenunan tangan Terengganu dilancar semalam bagi memudahkan pengguna untuk mengenali songket tenunan tangan negeri ini yang tulen.
Usaha itu dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Terengganu) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu serta Terengganu International Design Excellence (TiDE).
Timbalan Pengarah Perbadanan Kraftangan Malaysia (Terengganu), Mohd. Suhaimi Zakaria berkata, pengenalan logo khas yang di kawal selia TiDE yang merupakan anak syarikat YPU Terengganu adalah inisiatif untuk membantu pengguna dalam membezakan songket asli Terengganu dan songket luar.
“Selain untuk mengurangkan risiko pengguna tertipu dengan lambakan songket tiruan keluaran luar negara mahupun buatan mesin yang didakwa ditenun secara tangan di negeri ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Logo Songket Asli Tenunan Tangan Terengganu yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Tengku Khairi A. Rahman di Dewan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Terengganu), semalam.
Menurut Suhaimi, setiap songket tenunan tangan Terengganu yang asli akan dijahit bersama logo tersebut berukuran 3 cm x 3 cm dan disertakan bersama kad sijil perakuan yang mempunyai nombor siri berlainan,” ujarnya.

Tag: