• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

LTdL 2017 Meriahkan Tahun Melawat Terengganu

Zainal Abidin mewakili kerajaan negeri Terengganu menjadi salah satu penaja rasmi bagi LTdL 2017 yang bakal memulalan perlumbaan di Kuala Berang, esok. Foto oleh Hariah Fadzillah Kasim.

Seramai 114 pelumba dari serata dunia melibatkan 19 pasukan bakal berentap dalam kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang bakal membuka tirainya esok di Kuala Berang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, penganjuran LTdL edisi ke- 22 kali ini memberi sedikit kelainan dan istimewa apabila Terengganu dipilih sebagai tempat permulaan perlumbaan.

Katanya, penganjuran LTdL 2017 tersebut juga dijangkakan akan memberi impak positif terutamanya sepanjang Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017 dan menarik lebih ramai pelawat dari luar Terengganu.

"Ini merupakan julung-julung kalinya permulaan LTdL diadakan di Terengganu iaitu dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu dan pada peringkat kedua akan bermula dari Jerteh, Besut ke Grik, Perak.

"Kita yakin dan percaya bahawa kesan daripada LTdL 2017 yang dianjurkan di negara kita dengan turut melibatkan laluan di Terengganu bakal memberi impak positif serta memberangsangkan kepada penganjuran VBT 2017," katanya.


Beliau ditemui pemberita di Majlis Perkenalkan Pasukan LTdL 2017 di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan berkata, kerajaan negeri turut memberi keistimewaan kepada pelumba serta pengurusan yang terlibat dalam LTdL 2017 itu.

"21 premis perniagaan yang terlibat turut memberikan diskaun sebanyak 10 peratus kepada para pelumba, pihak pengurusan pasukan termasuk media yang terlibat dalam LTdL 2017.

"Di samping itu , kita turut melibatkan 11 hotel yang memberikan diskaun istimewa sempena penganjuran LTdL dan VBT 2017," katanya.

Tag: