• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

Lulus Peruntukan RM500 juta Untuk Jalan Di Besut



 
Nawi beramah mesra dengan ahli mesyuarat


Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan  RM500 juta untuk menaik taraf jalan dan pembinaan jambatan kedua merentangi Sungai Besut bagi mengatasi masalah kesesakan yang sering berlaku di bandar ini terutama pada musim cuti umum.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Nawi Mohamad berkata, pembinaan jambatan kedua berhampiran jambatan sedia ada di bandar Jertih diharap dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang sering menjadi rungutan penduduk daerah itu.

Katanya, serentak dengan pembinaan jambatan baharu itu kerajaan akan melebarkan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong bermula dari Kampung Gong Nering hingga ke Seberang Jertih.



"Selain itu menerusi peruntukan sama  kerja menaik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dari Hospital Besut ke Pasir Akar, Hulu Besut akan dilaksanakan.

“Usaha menaik taraf jalan kepada empat lorong berkenaan juga bertujuan menyelesaikan masalah terputusnya hubungan penduduk Hulu Besut dengan bandar ini apabila berlaku banjir,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-5 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Daerah Besut, hari ini.

Nawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut berkata, usaha memberi kemudahan seperti jalan dan jambatan yang dicadangkan itu akan terbantut jika penduduk Besut tidak memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Plihan Raya Umum Ke-14.

Oleh itu,katanya, beliau yakin ahli persatuan pesara kerajaan daerah ini akan terus menyokong BN kerana ingin melihat Besut iterus maju dan membangun dalam pelbagai bidang sebagaimana yang dirancang kerajaan.



Tag: