lightning-solid
Berita :
Madinah Ramadan Tawar Pelbagai Kejutan
Madinah Ramadan Tawar Pelbagai Kejutan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
15 jam yang lepas
153

KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Penganjuran Madinah Ramadan yang bermula sejak minggu lalu semakin rancak menawarkan pelbagai pengisian menarik.

Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata, sebagaimana tahun-tahun lalu Madinah Ramadan diadakan bertujuan untuk mengisi Ramadan dengan lebih bermakna khususnya membimbing, sebagai tanggungjawab kerajaan kepada rakyat negeri Terengganu, ini sebagai satu diantara inisiatif menandakan kecaknaan kerajaan negeri.

Menurutnya, bertempat di perkarangan Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI), Madinah Ramadan akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan dengan qiamulail, tadarus dan tadabbur al-Quran sebagai pengisian utama.

"Apa yang diatur ini adalah dari penilaian penganjuran-penganjuran terdahulu dan tahun ini juga sebenarnya kita datangkan Ustaz Azhar Idrus sebagai penarik, juga dirasmikan exco (Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah) kita dengan tempat yang lebih selesa.

"Harapannya, kalau ikut kepada perjalanan Madinah Ramadan ini tidak sampai suku lagi. Jadi, selepas ini kita harap kehadiran rakyat Terengganu penuh sebab acara menarik. 

"Ada yang datang tidak sangka ada bagi hadiah (cabutan bertuah), kopi dan sebagainya," katanya yang turut memaklumkan, akan ada lebih banyak kejutan sepanjang program itu berlangsung.

Sebagai pihak yang turut diamanahkan mengisi program sepanjang Madinah Ramadan berlangsung, UPDI pada Sabtu lalu menganjurkan 'Influencer Kongsi Rezeki Ramadan (IKON), Inspirasi Anak Terengganu yang menampilkan pempengaruh usahawan terkenal, Nachik Cikna, peserta Sumud Flotilla Gaza 1.0, Asmawi Mukhtar dan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA yang juga merupakan Timbalan Mufti Terengganu, Abdul Halim Awang.

"Untuk Madinah Ramadan bersama 'influencer' (pempengaruh) kali ini adalah sebagai menyempurnakan amanah yang diberikan kepada agensi unit tubuh dan UPDI memilih pempengaruh atas sebab tersendiri.

"Kita tahu pempengaruh ini ada pengikut tersendiri dan ada orang awam yang minat, jadi ia akan menarik ramai orang. 

"Di samping kita bukan sekadar menampilkan hanya pempengaruh, kita libatkan juga bekas timbalan mufti kita Ustaz Abdul Halim sebagai fokus utama untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang agama, bimbingan dan dorongan," katanya.

Dalam program tersebut, lebih 1,000 pengunjung hadir dan turut menikmati Kopi Nisang tajaan Nachik Empire, 400 Donut istimewa tajaan Monalicious dan hadiah daripada Muhammad Jewels.  


Tag :

Artikel Berkaitan