• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'Maghi Candat Sotong' Kembali Dengan Norma Baharu Ketat

KUALA NERUS, 3 Mei - Kerajaan negeri melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu sedang berbincang mengenai pelaksanaan dan kaedah sesuai bagi penganjuran Program Maghi Candat Sotong pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, program tersebut berikutan musim mencandat sotong bermula April hingga September ini akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.

Katanya, peraturan dan prosedur akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut keadaan semasa untuk memastikan pelancong domestik boleh datang bagi menyertai aktiviti tahunan tersebut.

"Antaranya pengusaha bot bagi aktiviti perairan ini bersedia untuk mengurangkan kira-kira 50 peratus jumlah peserta berbanding musim biasa.

"Tahap ketersediaan pengusaha terlibat semuanya dalam keadaan baik dalam pematuhan-peraturan yang ditetapkan supaya aktiviti mencandat berjalan tanpa sebarang masalah.

"Berkaitan SOP bagi sesebuah bot, jumlah kapasiti peserta akan dikurangkan kepada 12 orang berbanding 20 orang bergantung kepada muatan dan saiz bot," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis moreh bersama media, malam semalam.

Mengulas lanjut berkenaan pemeriksaan terperinci peserta yang akan terlibat, Ariffin memaklumkan, pihaknya akan menjalankan tindakan sesuai bagi memastikan risiko penularan dikurangkan.

"Tambah lagi, kita juga akan meneliti aspek kebenaran penyertaan sama ada hanya boleh diberikan kepada mereka yang sudah lengkap menerima dos vaksin, atau telah menjalani ujian calitan dan disahkan sihat sebelum memasuki Terengganu," jelasnya.

Untuk rekod, Program Maghi Candat Sotong merupakan program pelancongan pertama di Terengganu selepas diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada Julai tahun lepas.